Thursday, 17 May 2012

faktor-faktor yang mempengaruhi masyarakat Islam tidak mengamalkan cara bersosial mengikut Islam- assignment CTU553 aku..


1.0 PENGENALAN

Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Firma Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan tiadalah kami mengutuskan kamu, melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Segala puji bagi Allah s.w.t. selaku Pentadbir, Pencipta dan Pemerintah sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhamad s.a.w., ahli keluarga, para sahabat dan seluruh umat islam sekaliannya. Bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurniaNYA, kami dapat menyiapkan tugasan yang bertajuk “Islam mengajar penganutnya cara bersosial dengan masyarakat pelbagai etnik dan agama. Huraikan 4 faktor yang menyebabkan ajaran ini kurang dipraktikkan masyarakat Islam.” yang diberikan kepada kami, mengikut masa yang telah ditetapkan.

Islam merupakan agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Bagaimanapun, kini ajaran islam itu telah kurang dipraktikkan di kalangan masyarakat islam ekoran daripada pelbagai faktor terutamaya ekoran daripada penyalah tafsiran tentang konsep islam itu sendiri. Justeru itu, kami melaksanakan tugasan ini dengan harapan dapat berkongsi informasi bagi membentangkan faktor-faktor yang mempengaruhi masyarakat Islam tidak mengamalkan cara bersosial mengikut Islam. Apa yang kami harapkan segala kelemahan dan kebaikan daripada pembentangan ini dapat dijadikan panduan di masa akan datang.

Akhir kata, jutaan terima kasih diucapkan kepada kedua ibu bapa kami, pensyarah kami dan rakan-rakan seperjuangan yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung di dalam menyiapkan tugasan ini. Segala kerjasama dan perhatian yang kalian berikan amat kami hargai.

Sekian, Terima Kasih


2.0 LANDASAN TEORI
2.1 Definisi Islam dan Muslim
Islam mengajar penganutnya cara bersosial dan bergaul dengan masyarakat pelbagai etnik dan agama. Islam itu boleh didefinisikan sebagai penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Seorang penganut Islam dikenali sebagai Muslim bermaksud seorang yang tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.

Islam  adalah satu agama yang lengkap merangkumi segenap aktiviti kehidupan manusia. Ajaran Islam bukan hanya menganjurkan umatnya berbuat baik sesama Islam tetapi juga antara bukan Islam. Orang Islam mempunyai hak yang tertentu dan dilindungi selagi tidak memerangi Islam. Dalam hubungan antara orang Islam dan bukan Islam, Islam telah menetapkan peraturan tertentu yang mesti dipatuhi. Hal ini jelas sepertimana dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang mengiktiraf kepelbagaian etnik itu adalah sesuatu yang lumrah dan kepelbagaian itu bukan untuk berkonflik tetapi saling mengenali antara satu dengan lain.

2.2 Definisi Pergaulan Sosial
Pergaulan bermaksud gaul atau campur dan di dalam Bahasa Arab disebut “khalato” ( خلط ) . Bercampur atau bergaul disebut ( اختلاط ) bermaksud, apabila sesuatu itu bercampur dengan yang lain. Pengertian sosial di dalam Islam, membawa maksud sebarang kelakuan atau sikap yang dipengaruhi oleh pengalaman dan tingkahlaku orang lain samaada secara langsung atau secara tidak langsung. Sosial juga bermaksud merujuk kepada hal-hal yang berkaitan masyarakat dan kemasyarakatan.  

2.3 Definisi Agama
Istilah agama bermaksud suatu sistem kehidupan yang khusus menghubungkan antara manusia dan Tuhan di mana terangkum di dalamnya aspek-aspek kepercayaan, peribadatan dan tatacara kehidupan.  

2.4 Definisi Etnik
Etnik pula boleh di definasikan sebagai kelompok manusia yang ditentukan melalui perbezaan cirri-ciri budaya seperti adat resam, pakaian, bahasa, kegiatan ekonomi dan sebagainya.

2.5 Definisi Masyarakat
Menurut Islam, masyarakat adalah satu panggabungan manusia yang diwujudkan melalui ikatan undang-undang rabbani bagi mencapai tujuan kehidupan kemasyarakatan yang aman dan harmoni. Istilah ini merupakan satu peraturan hidup yang berdasarkan kepada Tauhidullah dan kepatuhan terhadap IllayiyyahNya. Sistem sosial Islam merangkumi keseluruhan hubungan kemasyarakatan yang saling berkaitan di antara satu sama lain dan kekuatannya adalah terletak kepada undang-undang yang mengendalikan sistem tersebut.

"Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu terdiri daripada lelaki dan wanita dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu saling kenal mengenali. (beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya), Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi amat mendalam pengetahuan-Nya". ( 13:49 Al Hujerat ).

2.6 Asas-Asas Bersosial Di Dalam Islam
 Terdapat enam asas-asal bersosial didalam Islam iaitu berkenal-kenalan, persefahaman, bekerjasama, persaudaraan, berkasih sayang dan saling menjamin.

2.6.1 Berkenal-kenalan
Asas pertama dalam membina kehidupan sosial masyarakat Islam ialah berkenal-kenalan kerana menjadi fitrah manusia untuk hidup, berkasih sayang dan saling berhubungan antara satu sama lain. Manusia diciptakan dengan wujudnya kaum lelaki dan perempuan serta yang terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa.

Manusia di jadikan paras rupa dan warna kulit yang berlainan supaya mereka berbaik antara satu dengan yang lain agar mereka dapat hidup bersama dalam keadaan aman dan sejahtera, bukan untuk bermusuh-musuhan. Bermusuhan antara satu dengan lain tidak akan mendatangkan keuntungan kepada mana-mana pihak.

Berkenalan yang dimaksudkan tidak terbatas kepada nama atau tempat tinggal, yakni lebih jauh daripda itu, malah mengetahui kedudukan seseorang, corak kehidupan seharian, budaya bangsa atau etnik asal dan sebagainya. Hal berkenaan hanya akan dapat diketahui apabila wujudnya kehidupan mesra dan saling mengenali antara satu sama lain.

2.6.2 Saling Memahami
Asas kedua dalam hubungan hidup bermasyarakat ialah saling memahami antara satu sama lain, lebih-lebih lagi dalam masyarakat majmuk. Tujuannya ialah untuk mencapai kehidupan yang harmonis dan sejahtera. Persefahaman boleh diamalkan dalam konteks hubungan etnik melalui cara berikut: iaitu perlu saling mengenali diantara satu sama lain dan berpegang teguh kepada agama dan mengamalkan nilai-nilai hidup murni.

Amalan tersebut dapat dilaksanakan melaui program kemasyarakatan seperti gotong royong, beriadah atau bersukan. Program-program sedemikian membolehkan anggota masyarakat berkenal-kenalan antara satu sama lain. Sikap memahami antara satu sama lain sangat penting. Keadaan ini dapat memudahkan masyarakat untuk saling menasihati dan tegur menegur sekiranya terdapat kecacatan atau kelemahan dan seterusnya mengeratkan hubungan siraturahim dan kerjasama.

2.6.3 Kerjasama, Tolong-Menolong Dan Saling Membantu
Asas ketiga dalam mewujudkan hubungan sosial yang memantapkan kehidupan bermasyarakat ialah wujudnya kerjasama, tolong-menolong dan saling membantu antara satu sama lain dalam kehidupan masyarakat majmuk. Bekerjasama dalam masyarakat pelbagai etnik bertujuan kearah kebaikan, mengelakkan musibat demi mencapai kepentingan bersama.

Pertolongan boleh diberikan dalam pelbagai bentuk; tenaga, harta dan masa. Bentuk pertolongan ini sememangnya bergantung kepada kemampuan seseorang. Kerjasama dalam bentuk sumbangan tenaga dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti membantu masyarakat yang berada di dalam kesusahan atau kesulitan. Pertolongan dalam bentuk harta benda merangkumi bantuan kewangan dan barang-barang keperluan seharian. Pertolongan juga wujud dalam bentuk pengorbanan masa untuk bersama-sama dengan mereka yang memerlukan. Antara contohnya ialah kerjasama dalam hal yang memberi manfaat seperti nasihat, tunjuk ajar, kuliah, ceramah dan sebagainya.

2.6.4 Persaudaraan
Asas keempat adalah persaudaraan. Menurut kamus dewan (2005), persaudaraan bermaksud perhubungan seperti bersaudara atau pertalian yang rapat sekali ibarat isi dengan kuku. Pendekatan islam hadhari menganjurkan konsep hidup bersandarkan kepada persaudaraan atas dasar beriman dan bertakwa. Hal ini disebabkan hubungan berasakan unsure-unsur tersebut lebih bernilai daripada hubungan yang berdasarkan kebendaan, pertalian darah, kesukuan atau yang lebih bersifat duniawi.

Dalam persoalan ini, Abdullah Nasih Ulwan (seorang ilmuan Islam) menyifatkan persaudaraan sebagai suatu ikatan kerohanian yang melahirkan perasaan mendalam dalam diri seseorang tentang belas kasihan, cinta kasih dan penghormatan diri. Setiap orang terikat antara satu sama lain dengan pertalian akidah islam, ikatan iman dan takwa. Justeru, pendekatan Islam hadhari dalam konteks hubungan etnik menekankan konsep persaudaraan bukan sahaja dalam bentuk kata-kata, tetapi juga dengan perasaan yang penuh jujur dan ikhlas. Mengasihi saudara itu, seperti mengasihi diri sendiri.

2.6.5 Berkasih Sayang
Asas yang kelima ialah berkasih sayang. Berkasih sayang merupakan salah satu sifat kemanusiaan yang sewajarnya disemai dan dibajai dalam sanubari setiap anggota masyarakat. Kesan daripada lahirnya sifat kasih sayang akan timbulnya rasa cinta bukan sahaja terhadap diri dan anggota keluarga terdekat tetapi juga kepada seluruh warga masyarakat walaupun berlainan kaum dan agama. Sifat kasih sayang mampu mengikat hubungan kemesraan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik. Apabila hati dengan hati bertaut, hilanglah sifat bermusuhan, benci membenci dan dengki mendengki antara satu sama lain.

2.6.6 Saling Menjamin
Asas keenam ialah saling menjamin. Asas kehidupan masyarakat juga ialah untuk saling melindungi antara satu dengan yang lain. Keadaan ini melahirkan rasa tanggungjawab dalam siri setiap anggota masyarakat untuk membantu ahli masyarakat yang lain ketika mereka menghadapi kesusahan atau memerlukan pertolongan. Hal ini bersesuaian dengan situasi masyarakat Islam yang dibangunkan atas dasar keadilan dalam semua aspek kehidupan.

Asas ini dapat disempurnakan melalui nafkah keluarga, zakat, sedekah-sedekah yang tidak diwajibkan oleh undang-undang seperti wakaf dan kerjasama yang erat dalam masyarakat. Pendekatan Islam mengemukakan 2 prinsip kerjasama iaitu; kerjasama umum, iaitu setiap individu bertanggungjawab untuk menjamin mata pencarian orang lain mengikut kemampuannya dan prinsip jaminan sosial, iaitu tanggungjawab negara menjamin sesuatu tingkat kemakmuran bagi semua warga negara.

Anggota masyarakat akan berasa selamat dengan jaminan tersebut. Mereka juga berasa aman dan hubungan yang baik dalam masyarakat dapat ditegakkan menerusi pengukuhan institusi adat. Institusi adat melayu yang berteraskan adat bersendi syarak, syarak bersendi kitab Allah s.w.t (al-Quran) hendaklah diperkukuhkan agar dapat mempertahankan warisan seni budaya melayu yang beradat dan bersopan, di samping menghormati adat resam semua kaum bagi menjaga keutuhan budaya dan moral.

Saling menjamin juga tidak akan dapat terlaksana secara berkesan kecuali individu yang terlibat melaksanakan tanggungjawabnya. Perlaksanaan itu melibatkan sekurang-kurangnya tiga peringkat utama; peringkat individu, peringkat keluarga dan peringkat masyarakat. Pada peringkat individu, setiap individu harus menjaga dan menyediakan diri sendiri untuk menjadi seorang yang baik. Individu tersebut mempersiapkan diri dengan sifat-sifat terpuji dan membuang sifat-sifat tercela. Individu tersebut tidak melakukan perkara buruk dan merosakkan dirinya dan seterusnya merosakkan masyarakat. Setiap individu mesti berperangai baik kepada individu lain.

Pada peringkat keluarga, setiap individu harus menjaga hubungan baik dengan kaum kerabai, terutamanya ibu bapa. Mereka hendaklah memenuhi hak, tanggungjawab dan kewajipan sebagai anak dengan membelanjakan harta benda untuk ibu bapa. Pada peringkat masyarakat pula, setiap individu sewajarnya menjaga hubungan baik dengan masyarakat. Antara jaminan atau tanggungjawab yang dapat dilakukan adalah dengan menolong mereka yang lemah dan membantu orang miskin.

Segala asas hubungan sosial yang harmonis dan berteraskan prinsip-prinsip Islam serta nilai-nilai keagamaan sejagat dapat diwujudkan melalui kemesraan dalam berkomunikasi, budaya ziarah menziarahi, mengambil berat, memuliakan dan menghormati seseorang dan menghormati jiran.



3.0 HURAIAN MASALAH

3.1 Pengaruh Media Massa

3.1.1 Definisi Media Massa

Selaras dengan perkembangan pembangunan negara, media massa memainkan peranan penting didalam kehidupan seharian masyarakat Islam pada masa kini terutamanya di dalam pembangunan sesebuah negara dan berupaya mempengaruhi perilaku manusia (dari pelbagai aspek dan sudut) terutamanya di negara yang sedang pesat membangun. Media massa dijadikan sebagai satu medium untuk berkomunikasi diantara satu sama lain didalam menyalurkan pelbagai informasi agar saling mempengaruhi diantara satu sama lain. Media juga merupakan satu alat yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku individu atau masyarakat di dalam semua aspek kehidupan. Ianya berperanan di dalam membina identiti bangsa dan budaya untuk pembangunan secara keseluruhannya.

Media massa terbahagi kepada dua iaitu media cetak (seperti surat khabar dan majalah) dan media elektronik (radio, televisyen). Media cetak dan media elektronik inilah yang memainkan peranan penting di dalam mencorak kehidupan manusia (seperti cara bersosial, pemikiran dan tingkah laku) manusia di pelbagai peringkat umur. Tanpa media massa, sesebuah negara itu akan menjadi pekak dan buta ekoran daripada tidak dapat mengikuti perkembangan terkini dari dalam dan luar negara. Pembangunan sesuatu negara itu turut bergantung kepada media samaada secara langsung mahupun tidak langsung.


3.1.2 Pengaruh Media Elektronik – Pengaplikasian / Peniruan Hasil Penontonan
           Rancangan- Rancangan Di Televisyen

Saban hari kita menonton televisyen. Televisyen sudah menjadi alat siaran yang amat popular dan penting. Hampir semua rumah di negara kita mempunyai televisyen.kita bukan sahaja mempunyai enam saluran yang tidak perlu dibayar seperti tv1, tv2, tv3, ntv7, tv8 dan tv9, malah kita mempunyai saluran televisyen berbayar seperti Astro dan Unifi. Sebagai contoh, kesan daripada kita menonton televisyen menyebabkan jenayah meningkat, masyarakat kita semakin hilang nilai-nilai budaya yang baik, kanak-kanak disogokkan dengan pelbagai rancagan kartun yang kadangkala mempamerkan keganasan dan pelbagai iklan dan rancangan-rancangan yang boleh meruntuhkan nilai-nilai murni masyarakat Islam dan meruntuhkan akidah mereka.

Ekoran daripada sentiasa didedahkan dengan pelbagai maklumat dan gambaran tentang isu keganasan, maka akan wujudlah segelintir masyarakat daripada golongan-golongan tertentu yang tidak berfikir secara rasional, akan menjadikan apa yang mereka lihat itu sebagai satu sumber ilham atau sumber idea untuk dijadikan sebagai satu realiti di dalam kehidupan seharian mereka di dalam melakukan keganasan seperti merompak, membunuh, merogol dan mencuri. Hal inilah yang akan membawa kepada peningkatan kes keganasan ekoran daripada pengalaman penontonan mereka.

Kesan daripada penanaman perasaan takut akibat penontonan program yang mengandungi unsur-unsur keganasan dalam televisyen telah mewujudkan fenomena hilangnya kepercayaan masyarakat terhadap persekitaran. Manusia di dunia ini akan saling tidak percaya mempercayai di antara satu sama lain ekoran terlalu takut berlakunya keganasan seperti apa yang telah mereka tontoni di dalam televisyen. Oleh hal yang sedemikian, perasaan takut akibat terdorong oleh keganasan yang dipaparkan di kaca televisyen ini telah menghakis nilai semangat bermasyarakat (seperti tolong-menolong, bekerjasama, saling memahami, bantu-membantu dan berkasih sayang) di dunia ini.


3.1.3 Pengaruh Media Elektronik - Pengaruh Muzik (Radio)

Pengaruh media masa melalui radio juga amat besar ke atas generasi muda terutamanya golongan remaja dan pelajar. Kewujudan bahan-bahan dengan nilai moral negatif di dalam lagu-lagu telah membawa masalah serius kepada perkembangan remaja masa kini. Terdapat lirik-lirik di dalam lagu yang dinyanyikan oleh artis-artis barat mahupun tempatan secara tidak disedari boleh memesongkan akidah seseorang individu yang menyanyikan lagu tersebut tanpa mereka sedari. Hal ini adalah ekoran daripada kurangnya pemantauan, bimbingan dan kawalan daripada pihak yang sewajarnya. Ianya boleh menyumbang kepada keruntuhan akidah individu tersebut.

Sebagai contoh, remaja kini gemar mendengar radio untuk mengisi masa lapang mereka. Terdapat pelbagai siaran radio yang boleh mereka dengari seperti Hit f.m, Fly f.m, Era f.m, Sinar f.m, Muzik f.m dan sebagainya. Diantara muzik-muzik ataupun lagu-lagu yang di putarkan di radio pada masa kini adalah seperti Hip Hop, Blues, Pop Rock, Heavy Metal dan Rap. Remaja yang terlalu tabsub mendengarnya akan mengaplikasikan muzik tersebut di dalam hidup mereka. Hal ini termasuklah penghayatan kepada lirik-lirk lagu tersebut yang cenderung kea rah negatif seperti penggunaan ayat “ bawa aku pergi, tolong jangan bilang sama mama dan papa” di dalam sebuah lagu artis tempatan boleh salah ditafsirkan oleh remaja itu dalam pelbagai sudut. Lirik tersebut seolah-olah menggalakkan remaja membuat perkara yang tidak sepatutnya seperti lari dari rumah dan mengetepikan ibu bapa mereka sedangkan di dalam Islam kita perlu mengutamakan ibu bapa kita dan menyayangi mereka sebagaimana ibu bapa menyayangi diri kita sewaktu kecil.

Oleh kerana terlalu taksub dan leka mempelajari lagu-lagu mahupun muzik baru, maka mereka terlupa akan tuntutan agama mereka untuk mempelajari al-Quran. Mereka akan menghindarkan diri mereka daripada membaca al-Quran mahupun mendengarnya. Mereka tidak akan mempersiapkan diri mereka untuk belajar membaca al-Quran daripada individu yang pakar dalam bidang agama. Hal ini menyebabkan mereka semakin jauh dari masyarakat dan membiarkan diri mereka di dalam dunia yang mereka cipta sendiri. Maka tidak wujudlah sikap berkenal-kenalan dan tolong menolong dan kerjasama dengan individu masyarakat yang lain.


3.1.4 Pengaruh Media Cetak – Majalah Hiburan

Masalah ini bertambah rumit dan sukar apabila dengan kewujudan majalah-majalah hiburan dari dalam dan luar negara yang lebih banyak memfokuskan kepada berita dan artis yang bertentangan dengan nilai agama Islam dan budaya timur. Kebanyakkan gambar artis tersebut bergambar dengan tidak menutup aurat. Penyebaran bahan-bahan ini secara berleluasa telah menyalahi etika yang sedia ada di mana Islam menggalakkan berkenal-kenalan tetapi di dalam landasan yang betul dan sebagaimana yang telah di tetapkan. Hasilnya maka wujudlah masalah berkomunikasi di antara individu terbabit dengan masyarakat setempat.

3.2 Kurang Didikan Agama Dan Kurang Penekanan Nilai-Nilai Murni
Didikan agama dan nilai - nilai murni adalah sangat penting dan perlu di terapkan dalam setiap individu bagi mengelakkan diri masing - masing daripada melakukan aktiviti atau gejala yang tidak bermoral. Dewasa ini, didikan agaman dan nilai - nilai murni semakin kurang di terapkan dan di praktikkan oleh golongan masyarakat tidak mengira bangsa mahu pun agama.

Secara umumnya, dalam setiap agama mahupun etnik, terutamanya masyarakat yang beragama Islam, didikan agama dan nilai - nilai murni merupakan salah satu elemen yang perlu di terapkan di dalam diri setiap individu. Terdapat beberapa faktor yang telah menyebabkan kurangnya didikan agama dan penerapan nilai-nilai murni. Diantaranya ialah :

3.2.1. Kurang Pendedahan Dan Perhatian Daripada Ibu Dan Bapa.

Seperti yang telah kita sedia ketahui, seiring dengan pembangunan masa kini, kebanyakan ibu bapa sibuk mengutamakan kerjaya mereka berbanding dengan meluangkan masa bersama-sama keluarga mereka. Hal ini dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan anak - anak mereka di dalam kontek duniawi sahaja seperti mengumpul harta dengan alasan untuk kesenangan anak - anak apabila mereka sudah tiada kelak. Aset - aset seperti harta benda di lihat sebagai aspek penting untuk kehidupan anak - anak mereka di masa hadapan sehinggakan mereka terlupa untuk  menerapkan nilai - nilai murni serta pendidikan agama di dalam diri anak mereka.

Apabila ibu bapa terlalu sibuk mencari harta dunia, maka masa untuk bersama anak - anak menjadi berkurangan. Ibu bapa tidak akan pernah ada masa untuk solat berjemaah bersama anak-anak mereka. Malah mereka juga tidak mempunyai masa untuk makan bersama dengan anak-anak mereka. Selain itu juga, apabila ibu bapa terlalu sibuk, ada di antara mereka terlupa untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi sepatutnya untuk menambahkan pengetahuan anak mereka tentang agama Islam seperti menghantar anak mereka ke sekolah agama. Hal ini menyebabkan tiada wujudnya hubungan komunikasi dua hala diantara ahli keluarga. Maka wujudlah sikap mementingkan diri sendiri, anak-anak mereka tidak menghormati ibu bapa mereka dan tiada wujudnya perhubungan atas dasar kasih sayang. Ekoran daripada itu, maka tidak sejahteralah keluarga tersebut kesan daripada kepincangan yang berlaku.


3.2.2 Pengaruh Rakan Sebaya

Remaja ialah satu tahap di mana mereka gemar bercampur dan bergaul antara satu sama lain. Dengan kesibukan ibu bapa dan kurangnya perhatian, mereka akan lebih cenderung untuk beralih arah kepada rakan-rakan sebaya mereka sebagai pengganti kepada kedua ibu bapa mereka. Mereka akan lebih mudah meluahkan apa sahaja yang mereka rasakan dan alami berbanding dengan ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, hal ini menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan sikap dan tingkah laku rakan-rakan mereka terutamanya kearah keburukan kerena sudah menjadi naluri seorang remaja untuk mencuba sesuatu yang baru walaupun ianya mendatangkan keburukan.

Rakan - rakan yang di cari biasanya daripada golongan yang sama dengan mereka sebagai contoh, remaja yang kurang di beri perhatian oleh ibu bapa, di beri kebebasan yang tiada had dan sebagainya. Golongan seumpama ini biasanya suka melakukan aktiviti yang kurang sihat kerana tiada atau kurangnya didikan agama dan nilai - nilai murni dalam diri. Sebagai contoh, percakapan sesama sendiri. Remaja zaman kini mempunyai cara pertuturan tersendiri dimana mereka lebih gemar mencampur adukkan bahasa ibunda mereka dengan bahasa asing dan seringkali menggunakan bahasa yang agak kesat. Sudah menjadi kebiasaan dimana mereka menggunakan bahasa yang mengetepikan adat - adat kesopanan dan budi bahasa.

Oleh kerana terbiasa menggunakan pertuturan sedemikian maka, perilaku itu telah di jadikan sebagai ikutan dan amalan di dalam kehidupan seharian. Selain itu, pengaruh melepak di kelab - kelab malam juga menjadi tabiat dan hobi anak - anak muda zaman sekarang. Hal ini adalah ekoran daripada ibu bapa yang tidak menghiraukan atau terlalu memberi kebebasan kepada anak - anak mereka untuk keluar sesuka hati tanpa mengira masa. Hal ini juga adalah disebabkan oleh kesibukan ibu bapa di dalam mengejar harta dan terlalu sibuk bekerja sehinggakan tiada masa untuk memantau anak - anak mereka. Ekoran daripada itu, ianya menyebabkan anak - anak mereka bergaul dengan remaja yang tidak bermoral dan turut serta melakukan aktiviti tidak bermoral yang sememangnya bertentangan dengan ajaran Islam.


3.2.3 Islam Atas Dasar Nama – Islam Sekular

Sikap yang tidak ambil peduli mengenai hukum hakam Islam juga menjadi faktor penyumbang. Di sekolah dan institusi - institusi pengajian ada memndedahkan mengenai agama Islam dan aspek nilai - nilai murni, tetapi dek kerana sikap individu itu sendiri yang tidak mahu mengambil peduli menyebabkan masalah ini semakin menular.

 Sebagai contoh, dalam subjek mata pelajaran agama Islam ada menekankan aspek menutup aurat adalah wajib dalam agama Islam, namun begitu cuba kita lihat, anak - anak muda zaman sekarang yang kebanyakannya beragama Islam tanpa segan silu mendedahkan aurat masing - masing walaupun dia sendiri tahu dan sedar bahawa membuka aurat itu adalah haram. Ibu bapa pula tidak pernah menegur cara pemakaian anak - anak dan secara tidak langsung sikap tidak ambil peduli semakin menebal dalm diri anak - anak. Cara pemakaian yang lebih kepada budaya barat langsung tidak menunjukkan ciri - ciri wanita timur dan Islam menjadi fesyen kepada anak - anak muda zaman sekarang.

Islam sekular boleh di definisikan sebagai seorang yang beragama Islam itu telah memisahkan urusan duniawinya daripada agamanya. Agama Islam itu hanya digunakan untuk mengatur hubungan peribadinya dengan Tuhan, sedangkan hubungan sesama manusia diatur hanya dengan berdasarkan kesepakatan sosial.

Masyarakat Islam pada masa kini lebih cenderung mengamalkan gaya hidup sekular atau dalam istilah lainnya mengamalkan cara hidup barat dan tidak berlandaskan agama Islam. Mereka lebih gemar menyingkirkan agama Islam daripada mempraktikkannya di dalam kehidupan seharian mereka ekoran daripada terlalu taksub menurutkan kata-katahawa nafsu jahat yang dipengaruhi oleh hasutan syaitan dan tidak bertitik noktah kesesatannya. Di dalam apa jua perkara yang mereka lakukan, mereka tidak membawa bersama mereka agama Islam tersebut termasuklah di dalam aktiviti politik, sosial dan ekonomi. Segala apa yang mereka lakukan berlandaskan nafsu semata tanpa memikirkan kesan ekoran daripada perbuatan mereka.

Masyarakat Islam sekular boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu majoritinya adalah berasal daripada Islam keturunan di mana mereka dilahirkan oleh ibu bapa mereka yang beragama Islam tetapi mereka tidak mengamalkan cara hidup Islam. Dalam kata lainnya, Islam hanya pada nama. Manakala minoritinya adalah daripada kalangan orang kafir yang mendapat hidayah untuk memeluk agama Islam. Apabila mereka berkahwin, mereka terpaksa mengikut ajaran Islam tetapi apabila mereka berpolitik dan bersosial mereka menyingkirkan Islam.

Ekoran daripada fenomena ini maka muncullah politik sekular dan sosial sekular dimana mereka menghalalkan yang haram buat mereka selagi mana ianya mendatangkan faedah buat mereka. Sebagai contoh: isu solat tidak boleh di tegur kerana itu adalah termaktub sebagai isu peribadi. Ini bermakna, sekiranya mereka tidak menunaikan solat, masyarakat lain tidak boleh mempersoalkannya. Salah satu alasan yang bakal mereka berikan adalah kekangan waktu bekerja yakni urusan duniawi semata-mata sedangkan solat itu adalah tiang agama dan telah menjadi salah satu tuntutan yang wajib kita laksanakan di dalam beragama.

Hal ini juga berlaku didalam aktiviti sosial masyarakat Islam dan sekular dimana pergaulan di antara lelaki dan perempuan tidak ada batasannya. Mereka mengamalkan bersekedudukan diantara lelaki dan perempuan tanpa ikatan yang sah di sisi agama. Mereka tidak suka menutup aurat dan lebih suka mendedahkan tubuh mereka dengan berpakain seksi dan mengiurkan. Maka terhasillah anak-anak daripada hubungan terlarang iaitu melalui zina dan juga ekoran daripada kes jenayah sosial iaitu rogol.

Anak-anak hasil seks bebas ini digugurkan sesuka hati seperti tiada nyawa yang perlu dihargai. Ada di antaranya dibunuh sejurus selepas di lahirkan dengan niat untuk menutup malu mereka dari pandangan masyarakat umum. Zuriat yang terhasil daripada benih-benih yang haram ini akhirnya berkembang dari hari ke hari sehingga mencapai angka yang kita sendiri tidak menjangkakan. Masyarakat islam sekular ini juga sanggup memeluk agama lain seperti Kristian,Hindu dan lain-lain kerana jatuh cinta kepada lelaki kafir.

Fenomena isteri dan suami berlaku curang juga semakin hebat diperkatakan tetapi tidak pernah diketengahkan. Isteri yang berfahaman Islam sekular ini lebih rela membenarkan suaminya menyimpan perempuan simpanan daripada membenarkan suaminya berpoligami kerana bagi mereka bermadu itu adalah pahit. Mereka juga minum arak, berjudi, menagih, mengedar dadah dan seringkali mempermainkan agama Islam. Mereka lebih cenderung bersikap assabiyyah iaitu bersifat perkauman yang sempit seperti wujudnya kumpulan black metal, hip hop, mat rempit, punk dan sebagainya yang mana ianya boleh menyesatkan akidah dan akhlak mereka. Saban hari mereka sentiasa terus menerus melakukan dosa dan bergelumbang di dalam dosa.

Kebanyakan daripada masyarakat Islam sekular ini lebih gemar mengamalkan gaya hidup orang bukan islam atau lebih cenderung kearah budaya barat. Mereka lebih gemar meniru dan mengikuti perkembangan dunia fesyen dari barat sedangkan masyarakat barat tidak pernah menggemari pemakain masyarakat Islam. Malah pemakaian masyarakat Islam di anggap kolot pada pandangan mata barat.


3.3 KESAN ARUS PEMBANGUNAN TEKNOLOGI

3.3.1 Definisi Pembangunan Teknologi
Pengertian teknologi adalah satu konsep yang meluas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan pula bermaksud pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Kebiasaannya, teknologi sering berkait rapat dengan rekaan yang menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Teknologi juga digunakan dalam bidang ekonomi dan ianya dapat dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa, dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal mengikut perubahan arus perkembangan semasa.

Definisi teknologi menurut perspektif Islam pula terapan atau aplikasi dari ilmu yang dipelajari dan ianya dapat dibuktikan di dalam hasil kerja yang nyata lebih canggih dan dapat mendorong manusia utk berkembang dengan lebih maju lagi.

Manakala pengertian globalisasi pula membawa maksud perubahan dari seluruh aspek ekonomi dan cara kehidupan manusia. Globalisasi juga adalah suatu proses di mana individu, kelompok, dan negara saling berinteraksi, bergantung, berkait, dan mempengaruhi di antara satu sama lain yang melintasi batasan sesebuah negara itu sendiri.

Menurut perspektif Islam, globalisasi bersifat meluas. Globalisasi jika dilihat dari kaca mata Islam, bukanlah sesuatu yang baru dan seharusnya pandangan terhadap globalisasi tidak haruslah berunsur negatif jika ianya berlandaskan syariah Islam. Proses globalisasi yang belandaskan syariah Islam akan membentuk konsep masyarakat yang satu dan perkampungan global di seluruh negara bersesuaian dengan konsep Ukhwah Islamiah.


Namun demikian dalam era kemajuan globalisasi kini, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan ajaran Islam kurang mempraktikkan cara bersosial di kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama. Ini berikutan daripada percanggahan pendapat dan gaya hidup di antara etnik lain yang kurang disenangi oleh masyarakat beragama Islam.

Seharusnya di era globalisasi kini, perhubungan dengan pelbagai etnik sekurang-kurangnya seseorang atau puakatan etnik berkenaan dapat menerima dan memberi di dalam proses pertukaran nilai-nilai murni serta ilmu pengetahuan yang menjadi budaya dalam kehidupan kelompok atau etnik masing-masing. Nilai-nilai murni ini nantinya akan menjadi pemangkin kepada kemajuan dan kebahagian hidup secara bersama.


3.3.2 Pengaruh Internet Melalui Penggunaan Alat Telekomunikasi

Teknologi dan globalisasi sering berhubung kait dalam menuju arus kemodenan dunia pada masa kini. Peningkatan era globalisasi membawa perubahan yang lebih ketara dalam bidang teknologi. Bidang teknologi yang membawa peningkatan di mata dunia pada masa kini adalah teknologi maklumat dan komputer. Ini dapat dilihat, dari segi pembuatan barang elektronik seperti computer yang kini semakin lama semakin memenuhi kehendak manusia pada masa kini. Peningkatan arus teknologi dan globalisasi juga memberi kesan terhadap kebudayaan sesebuah negara, budaya pemakanan, budaya pemakaian, budaya kerja, budaya muzik dan hiburan serta budaya bahasa.

Peningkatan arus teknologi dan globalisasi memberi kesan negatif kepada masyarakat Islam jika ianya tidak berlandaskan syariah Islam. Antara kesan yang begitu ketara adalah kebudayaan sesebuah negara. Ini dapat dilihat dari segi peralatan moden yang begitu meluas dan memasarkan produk-produk teknologi canggih seperti alat-alat komunikasi dan barang-barang mewah yang menawarkan pelbagai hiburan kepada orang tua dan muda serta anak-anak. Melalui peralatan serba canggih ini, ianya telah mewujudkan jurang komunikasi diantara seorang individu dengan masyarakat yang lain.

Seharusnya sebagai umat Islam kita haruslah sedari bahawa dasar-dasar teknologi yang dibangunkan haruslah digunakan untyk memperkembangkan lagi pengetahuan dan ilmu yang sedia ada di dalam diri. Ia juga hendaklah dikaji berlandaskan Al-Quran kerana di dalam kitab suci Al-Quran terkandung keterangan-keterangan mengenai ilmu pengetahuan dan teknologi. Melalui pengkajian yang berlandaskan Al-Quran oleh orang Islam ianya dapat mebantu golongan Islam dan bukan islam bergerak seiringan tanpa berlakunya perselisihan faham di dalam proses pertukaran nilai-nilai murni dan ilmu pengetahuan yang sekian lama menjadi budaya dalam setipa kelompok dan etnik masing-masing.

Sebagai contoh penggunaan internet secara fanatik dikalangan masyarakat pada masa kini seperti melayari Twitter dan Facebook telah mewujudkan jurang kepada individu terbabit daripada bergaul dengan masyarakat lain. Mereka akan mengadap laman web tersebut setiap hari tanpa menyertai program kemasyarakatan seperti mengenali dan mengambil berat jiran mereka, bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan kejiranan mereka atau menghadiri majlis yang jiran mereka adakan.

Mereka yang terlalu mengikutkan arus perkembangan teknologi ini akan bersifat lebih mementingkan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain. Mereka lebih selesa mengutamakan hal peribadi mereka daripada membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan. Pada pandangan mereka, membantu orang lain hanya akan menyusahkan diri mereka sendiri. Selain daripada itu, mereka yang asyik melayari internet akan lalai daripada menunaikan tanggungjawab mereka kepada Allah s.w.t seperti melewatkan waktu untuk menunaikan solat lima waktu. Malah mereka seringkali terlepas waktu untuk menunaikan solat lima waktu.

Melalui internet juga, pelbagai fitnah boleh merebak dikalangan masyarakat melaui blog dan medium-medium lain yang ditawarkan didalam melayari internet. Hal ini boleh menyebabkan perselisihan faham diantara individu yang terlibat dengan yang lain. Fitnah yang tersebar secara meluas boleh menyumbang kepada ketidak sepakatan diantara kaum, permusuhan diantara bangsa dan agama, wujudnya pandangan negatif terhadap sesuatu bangsa dan agama dan berkemungkinan juga boleh membawa kepada pepecahan diantara kaum dan agama itu sendiri sedangkan di dalam agama Islam menggalakkan agar persaudaraan itu dibina dan sikap saling memahami diantara satu sama lain itu perlu diwujudkan.


3.4 PENGARUH BUDAYA BARAT

3.4.1 Pengertian Budaya Barat

Budaya itu kadang - kala berbeza dan juga terdapat persamaan dalam masyarakat Malaysia ini adalah kerana budaya itu tidak lahir secara langsung tetapi perlu di pelajari. Sebagai contoh, seorang ibu mengajar anaknya untuk menggunakan bahasa yang sopan apabila berkomunikasi, sekiranya di ajar dengan cara yang betul maka ajaran itu akan di jadikan budaya oleh anaknya sehingga dewasa. Namun begitu, budaya juga boleh di pengaruhi oleh faktor - faktor persekitaran yang membangun mengikut peredaran masa contohnya seperti peralatan dan kelengkapan hidup, mata pencarian hidup dan sistem ekonomi, sistem pengetahuan dan lain - lain lagi.

Budaya perlu di kongsi dalam masyarakat yang menjadi anggota masyarakat. Sebagai contoh dalam masyarakat sekarang, nasi lemak dan roti canai menjadi kegemaran kerana masyarakat menggemarinya, bahasa melayu pula boleh di tuturkan oleh semua bangsa kerana masyarakat di Malaysia di monopoli oleh bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah budaya yang tidak dapat diterima oleh etnik yang berbeza. Contohnya seperti pemakanan bangsa Cina yang tidak menyembelih binatang mengikut syariat Islam di mana orang Islam tidak dibenarkan untuk memakan makanan seperti itu. Makanan yang sama tetapi terdapat perbezaan dalam cara menyediakannya.

Bukan sahaja dari segi makanan, malah dari segi pergaulan. Islam melarang umatnya daripada bergaul bebas sesama sendiri iaitu di antara lelaki dan perempuan. Masyarakat Islam sangat menitik beratkan pergaulan kerana adalah di larang dalam hukum Islam. Manakala bagi agama lain, bersentuhan di antara lelaki dan perempuan adalah tidak salah di sisi agama mereka. Adalah tidak di larang bergaul sesama etnik di dalam masyarakat tetapi masyarakat Islam haruslah mengetahui batas – batas pergaulan yang telah ditetapkan dalam hukum Islam.
Kesimpulannya, budaya dan adat resam berhubung kait sesama sendiri di dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu masyarakat Islam di Malaysia tidak haruslah menanggap bahawa budaya dan adat resam menciptakan jurang perhubungan sosial sesama sendiri selagi masyarakat Islam berada di landasan yang betul.

Budaya Barat berbeza jika dibandingkan dengan budaya yang diamalkan oleh orang Islam. Budaya barat boleh dianggap satu fahaman kehidupan yang tiada sempadan dan boleh diertikan sebagai kehidupan yang “bebas” dan “terbuka” jika dibandingkan dengan budaya masyarakat Islam. Budaya masyarakat Islam seharusnya bertindak balas terhadap perubahan semasa dan ianya hendaklah sejajar dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran.

Namun begitu, masyrakat Islam pada masa kini telah dipengaruhi oleh cara hidup budaya barat. Kebanyakan, masyarakat Islam pada masa kini memandang ringan terhadap isu ini. Maka dengan itu, terbitlah genjala yang tidak sepatutnya berlaku di dalam masyarakat Islam seperti pengaruh pemikiran barat, sikap mementingkan diri sendiri, dan perbezaan darjat.


3.4.2 Pengaruh Pemikiran Barat

Pengaruh pemikiran barat adalah salah satu faktor yang mempengaruhi masyarakat Islam kurang bersosial di kalangan masyarakat etnik pada masa kini. Hal ini dapat dilihat melalui arus dunia yang telah dimonopoli dan dikuasai oleh masyarakat barat dari segi cara berpakaian dan pergaulan sesama sendiri. Pengaruh pemikiran barat ini telah membawa kepada beberapa perubahan dan ianya juga semakin menular dan mempengaruhi cara-cara pemikiran masyarakat Islam untuk mengikuti perlakuan dan budaya mereka.


Masyarakat Barat mengamalkan konsep berfikiran terbuka. Konsep pemikiran ini boleh diertikan sebagai “mudah” dimana cara berpakaian mereka tidak perlu menutup aurat asalkan mengikut keselesaan individu itu. Selain daripada itu, masyarakat barat pula menganggap pergaulan di antara lelaki dan perempuan tidak ada batasan samaada lelaki dan perempuan dan sesama jantina.

Melalui pengaruh pemikiran barat ini, masyarakat Islam sedikit sebanyak telah terpengaruh dengan budaya pemikiran masyarakat barat. Ada di antara masyarakat Islam yang bergaul di antara lelaki dan perempuan tanpa ada batasan dan cara pemakaian masyarakat islam tidak lagi menutup aurat dan menjaga maruah mereka. Pengaruh pemikiran barat ini telah menyebabkan masyarakat Islam kurang menerapkan nilai-nilai murni di dalam konteks bersosial mereka yang seharusnya berlandaskan hukum dan syarak yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran.


3.4.3 Sikap Mementingkan Diri Sendiri

Di dalam meniti arus pembangunan teknologi dan globalisai pada masa kini, masyarakat Islam kini telah mengabaikan sifat bekerjasama dan bantu membantu di kalangan etnik. Hal ini disebabkan oleh pengaruh budaya barat yang telah menerapkan peralatan teknologi seperti telefon bimbit dan kemudahan internet bagi setiap individu yang bertujuan untuk memudahkan para pengguna berinteraksi sesame sendiri.

Namun demikian, dengan adanya peralatan teknologi yang semakin lama semakin canggih, masyarakat Islam pada masa kini, telah terpengaruh dengan budaya barat dan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, sifat bekerjasama sesama jiran untuk membersihkan kawasan taman perumahan mereka tidak lagi dititikberatkan. Setiap individu masing-masing sibuk melakukan kerja sendiri dan jikalau ada apa-apa maklumat hanyalah terus berurusan di laman sesawang yang dikenali sebagai “Facebook”.

 Hal ini mengurangkan lagi sifat semangat kejiranan dan ada juga yang diantara masyarakat Islam pada masa kini tidak mengenali jiran masing-masing kerana terlalu sibuk dengan urusan sendiri. Pengaruh budaya barat kian menular di dalam diri masyrakat Islam melalui teknologi yang mereka hasilkan dan kesan serta akibatnya masyarakat Islam itu sendiri telah menjadi individu yang memntingkan diri sendiri dan kurang bersosial di kalangan etnik lain mengikut landasan Islam.


3.4.4 Perbezaan Darjat

Budaya masyarakat barat juga mengamalkan konsep perbezaan darjat dimana mereka membandingkan masyrakat berkulit hitam dan putih. Mereka mengamalkan budaya perkauman sesama sendiri yang juga bermaksud masyarakat berkulit hitam tidak bercampur dengan masyarakat berkulit putih. Masyarakat berkulit putih juga memandang rendah terhadap kaum lain kerana mereka merasakan diri mereka adalah sempurna jika dibandingkan dengan kaum lain.

Perbezaan darjat dari segi budaya barat juga telah menular di dalam budaya Islam.ini dapat dilihat melalui kaum Melayu yang kurang bercampur dengan kaum India dan Cina. Sebagai contoh, di dalam konsep kejiranan amalan kunjung mengunjung di kalangan etnik itu sendiri kurang diamalkan disebabkan perbezaan kaum dan darjat. Bangsa Cina menganggap bahawa mereka mempunyai status yang tinggi kerana boleh dikatakan setiap perniagaan di Malaysia dimonopoli oleh kaum berbangsa Cina. Bangsa Melayu yang beragama Islam pula menganggap agama Islam menghadkan pergaulan sesama etnik kerana konsep ajaran agama yang diterapkan setiap kaum adalah berlainan. Maka dengan itu, pergaulan sesama etnik berkurang disebabkan berlakunya perbezaan darjat.

Seharusnya, konsep perbezaan darjat haruslah dihapuskan kerana setiap kaum adalah sama dan hanya ajarannya yang berlainan. Bangsa Melayu yang beragama Islam haruslah membuka mata dan mendalami lagi konsep agama Islam supaya pergaulan di antara etnik tidak dihadkan sehingga berlakunya perbezaan darjat. Selain daripada itu, masyarakat Islam haruslah mengetahui konsep pergaulan yang berlandaskan hokum dan syarak yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran.

Sebagaimana yang telah kita pelajari, Islam menolak sikap membandingkan darjat ketinggian sesuatu kumpulan manusia di atas dasar bangsa, wama kulit, bahasa, kewarganegaraan dan seumpamanya. Di dalam sistem sosial Islam semua manusia yang berada di muka bumi ini adalah sama tanpa mengira warna kulit atau bahasa mereka. Warna kulit dan bahasa tidak dapat mencerminkan status kemanusiaan mereka.


3.4.5 Kesan Penjajahan Oleh Kuasa Penjajah

Jika kita amati secara telitinya, di antara punca kejatuhan negara islam ke tangan penjajah adalah ekoran daripada kemerosotan, kesempitan dan kebekuan akal fikiran, keruntuhan akhlak dan budi pekerti dan kekacauan dan kepincangan politik itu sendiri. Hal ini secara tidak langsung membuka ruang dan peluang bagi penjajah untuk meguasai kebanyakan negara-negara Islam samaada melalui peperangan mahupun secara campur tangan di dalam isu pentadbiran sesebuah negara Islam tersebut. Jika mereka tidak berjayamenjajah tanah air masyarakat Islam maka mereka akan sedaya upaya menjajah pemikiran masyarakat islam. Kesan daripada penjajahan barat ini menyebabkan masyarakat Islam terjerumus ke lembah kehinaan yang amat ketara di mana ianya melemahnya pemikiran, meruntuhnya akhlak dan pengaplikasian budaya barat dalam kehidupan seharian.

Selepas kejatuhan zaman kegemilangan Islam, negara-negara islam telah dijajah oleh negara-negara barat. Ekoran daripada peristiwa tersebut, maka penjajah telah menguatkuasakan undang-undang mereka untuk diguna pakai atau dengan kata lainnya di aplikasikandi negara-negara Islam sebagai garis panduan dan ada diantaranya dijadikan perlembagaan negaramenggantikan perundangan dan syariat islam yang telah lama diamalkan sebelum mereka dijajah. Dalam erti kata lain, undang-undang islam tidak lagi di amalkan sepenuhnya. Ianya tidak dihapuskan tetapi telah dihadkan bidang kuasanya. Secara automatiknya, undang-undang barat di naikkan darjatnya dan diguna pakai secara meluas. Manakala undang-undang islam terletak hanya ada pada nama.

Penjajah telah mempengaruhi minda masyarakat Islam supaya hidup di atas landasan cara hidup orang bukan Islam. Harus kita tekankan di sini bahawa penjajahan minda adalah lebih hebat kesannya kepada masyarakat islam. Ianya dilakukan secara halus dan tidak kita sedari walau sedetik pun tetapi meninggalkan impak yang besar kepada masyarakat Islam sejagat. Hal ini membolehkan mereka menjauhkan orang Islam dengan agamanya. Urusan pentadbiran telah diasingkan dengan urusan agama. Penjajah melakukan dengan pelbagai cara termasuklah mengeruhkan kemurnian akhlak mereka, merosakkan agama mereka, menyelewengkan mereka dari landasan agama, menabur fahaman yang menggalakkan maksiat berleluasa dan menggalakkan mereka meninggalkan perintah Allah s.w.t. Manakala para ulama adalah dilarang daripada memimpin masyarakat dan meneraju politik negara. Dengan cara ini, maka terhapuslah islam itu daripada hati mereka, jiwa mereka dan hidup mereka sebagaimana penjajah inginkan.

Pemimpin-pemimpin yang berhaluan barat telah dilantik bagi menerajui negara-negara Islam. Pemimpin-pemimpin ini yakin bahawa sistem pemerintahan yang mereka laksanakan di dalam tampuk pemerintahan mereka tidak akan kekal di tangan mereka selamanya kerana lambat launnya ianya akan berpindah kepada umat yang menuntut supaya sistem pemerintahan Islam dilaksanakan berdasarkan akidah dan nilai-nilai Islam. Maka mereka tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. Jesteru itu, mereka tidak akan membenarkan nilai-nilai keadilan di zahirkan dan tidak akan membiarkan nilai-nilai islam diserap didalam sistem pemerintahan mereka. Ekoran daripada itu, timbullah pelbagai masalah di dalam system pemerintahan seperti berleluasanya kes pecah amanah, pengambilan riba’, pemberian rasuah, penindasan pada kaum-kaum lain atau kaum minorit dan segala perlakuan yang tidak berintigriti.

Kepincangan politik didalam negara-negara Islam boleh membawa kepada perpecahan kaum di mana persefahaman dan permuafakatan tidak dapat di capai. Tiada sifat tolong menolong, bantu-membantu dan bekerjasama di antara satu sama lain sebaliknya berlaku penindasan pada golongan yang lemah. Diskriminasi berleluasa. Wujudnya sikap mementingkan diri sendiri dan berlumba-lumba mencari kekayaan duniawi dari hasil yang tidak sepatutnya.Apabila sesebuah kerajaan islam itu berpegang teguh pada ekor-ekor barat, maka mustahil bagi negara tersebut dapat melangkah ke hadapan. Negara tersebut akan lenyap ditiup angin dan menjadi debu yang bertaburan. Hal ini adalah ekoran daripada masyarakat Islam yang berpegang teguh pada agamanya tidak dapat mencampuri urusan negara walaupun urusan yang paling kecil.


4.0 KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, masyarakat Islam haruslah menitik beratkan dan mengamalkan asas-asas perhubungan sosial mengikut ajaran Islam seperti berkenal-kenalan, persefahaman, bekerjasama, persaudaraan, berkasih sayang, dan saling menjamin bagi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan diantara kaum dan etnik. Hal ini dapat dilalukan melalui mewujudkan kemesraan didalam komunikasi, menyemai budaya ziarah menziarahi, mengambil berat terhadap masyarakat lain, memuliakan dan menghormati orang lain serta menanamkan sikap menghormati jiran.

 Masyarakat juga secara umumnya perlu mengamalkan serta menerapkan nilai agama dan nilai-nilai murni di dalam aspek pergaulan dengan kaum dan etnik yang lain. Pergaulan dengan kaum dan etnik di kalangan masyarakat Islam kini berkurangan disebabkan oleh faktor-faktor seperti terpengaruh dengan budaya barat, terpengaruh dengan media massa, terpengaruh dengan perkembangan arus teknologi dan globalisasi dan kekurangan didikan agama dan kurangnya penerapan nilai-nilai murni.

Sehubungan dengan itu, masyarakat Islam haruslah tidak terpengaruh dengan budaya barat yang semakin berleluasa terutamanya melalui media cetak mahupun media massa seperti majalah-majalah hiburan dan rancangan hiburan seperti pertunjukan fesyen. Hal ini juga sama seperti pengaruh teknologi dimana pada masa kini era teknologi telah mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

Teknologi yang dihasilkan oleh masyarakat barat adalah seperti ipad, PDA, telefon bimbit dan sebagainya yang mempunyai pelbagai kegunaan di mana ianya memudahkan pengguna untuk mengakses segala maklumat hanya di hujung hari. Teknologi di hujung jari ini telah mengurangkan aktiviti kunjung-mengunjungi dan secara tidak langsung mengurangkan sifat kejiranan dan permuafakatan di kalangan masyarakat.

 Masalah kekurangan didikan agama dan penerapan nilai-nilai murni juga menjadi penyebab masyarakat Islam kurang mempraktikkan pergaulan dengan kaum dan etnik yang lain. Kebanyakan masyarakat Islam pada masa kini menganggap Islam itu agama yang rumit dan membataskan had-had pergaulan di dalam kehidupan seharian.

Seharusnya, masyrakat Islam perlu lebih mendalami dan mengenali Islam yang sebenar sebagaimana yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Secara keseluruhannya, masyarakat Islam perlulah membuka minda dan saling memperingati di antara satu sama lain agar pergaulan sosial dengan kaum dan etnik yang lain dengan cara yang betul dapat dipraktikkan.


1 comment:

  1. thanks. i'm looking for konsep masayarakat dari perspektif barat. tapi nice info ni.. :D

    ReplyDelete